Monday, April 13, 2009

Cara-cara menguruskan hutang kad kredit secara efisyen




Pengurusan Hutang Kad Kredit (Debt Management)

Untuk menyelesaikan hutang kad kredit, anda boleh memilih antara 3 cara di bawah :-

1 – Melalui pembiayaan-semula pinjaman rumah anda

Jika nilai pasaran rumah anda sudah naik (biasanya selepas 2-3 tahun rumah siap sepenuhnya), anda mempunyai pilihan untuk menyusun-semula pinjaman rumah anda melalui proses pembiayaan-semula pinjaman (re-financing). Bukan sahaja anda boleh mengambil kesempatan ke atas pakej pinjaman yang menawarkan pakej pinjaman tanpa yuran guaman dan kadar faedah terendah sekarang, malahan duit lebihan yang didapati dari pembiayaan-semula rumah anda boleh digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutang kad kredit tersebut.



Dengan mengumpul semua hutang kad kredit ke dalam satu akaun pinjaman rumah yang baru (debt consolidation), ia akan meringankan beban anda dari terpaksa pergi ke 4 - 5 bank sehari kepada 1 bank sahaja atau lebih mudah lagi, berurusan dengan 1 bank secara online/internet. Kadar faedah baru yang dikenakan juga lebih rendah iaitu 6.25% setahun berbanding kadar faedah kad kredit 18% - 21% setahun. Jadi, anda akan dapat menyelesaikan hutang kad kredit itu tadi dengan lebih cepat jika anda membayar pada jumlah yang sama, tetapi pada kadar faedah yang lebih murah berbanding dulu. Di sinilah penjimatan dari segi pembayaran faedah dapat dinikmati.

Bagi mereka yang mempunyai komitmen bulanan yang tinggi pula, mereka akan mendapati komitmen bulanan mereka kini berkurangan kerana hutang kad kredit tadi sudah diletakkan bersama hutang pinjaman rumah yang mempunyai kadar faedah lebih rendah. Cara ini memang berguna kepada mereka yang mempunyai baki aliran tunai yang negative (defisit) supaya mereka tidak menghadapi masalah kewangan dalam membuat pembayaran pinjaman di masa akan datang.

Walaubagaimana pun, anda dinasihatkan untuk tidak membiayai-semula pinjaman rumah anda begitu sahaja, tanpa membuat perancangan kewangan yang sempurna. Ini kerana, walaupun anda memilih pinjaman rumah baru yang mempunyai kadar faedah lebih rendah, tempoh pinjaman rumah itu biasanya sangat lama dan ini akan menyebabkan anda menanggung jumlah faedah yang besar dalam jangka masa panjang jika anda tidak membuat pembayaran lebih.


2 – Melalui ansuran bulanan jika baki aliran tunai positif (surplus)

Jika anda tidak memiliki rumah yang sudah naik nilai pasarannya, tetapi mempunyai baki aliran tunai positif (ada lebihan wang yang tidak dibelanjakan setiap bulan), perkara utama yang perlu anda lakukan adalah menyediakan Tabung Kecemasan antara RM 500 - RM 1,000 atau 1-2 bulan gaji, bergantung kepada keadaan kewangan dan keperluan anda. Ini untuk mengelakkan anda dari terlalu kerap membuat pengeluaran tunai dari kad kredit anda bagi menampung keperluan kecemasan dalam jumlah kecil seperti balik kampung, kereta rosak, demam biasa dan sebagainya. Tabung kecemasan ini boleh anda simpan di dalam ASB atau Tabung Haji, berbanding akaun simpanan bank yang biasanya hanya memberi pulangan 1% – 2% setahun sahaja. Untuk risiko kehidupan yang lebih besar, anda dinasihatkan supaya memiliki insurans hayat atau insurans kad perubatan.

Gunakan lebihan wang yang anda tidak belanjakan itu, untuk membayar lebih kepada kad kredit yang mempunyai caj faedah yang lebih tinggi dari kad kredit lain. Contohnya, kad kredit konvensional mengenakan caj bulanan 1.5% berbanding kad kredit islamik 1.25% sebulan.

Jika kad kredit anda mempunyai promosi caj faedah rendah untuk tempoh tertentu bagi pindahan baki dari kad kredit lain, gunakan ia untuk mengurangkan caj faedah yang anda perlu tanggung. Promosi sebegini biasanya terdapat di kalangan bank-bank luar seperti Citibank & Standard Chartered yang menggalakkan anda memindah baki kad kredit anda ke dalam kad mereka.

Jika semua kad kredit anda mengenakan caj faedah yang lebih kurang sama, maka gunakan lebihan wang tadi untuk membayar kad kredit yang mempunyai baki yang terendah dulu. Lebih banyak baki kad kredit yang anda kurangkan, lebih cepat ia akan selesai. Anda sendiri akan merasa lebih seronok apabila melihat satu persatu kad kredit anda dapat diselesaikan (moral boost). Dengan cara begini, ia akan mengurangkan jumlah kad kredit di dalam pegangan anda kerana setiap kad kredit yang anda pegang, mempunyai yuran tahunan yang perlu dibayar.

Sesetengah orang gemar membuat potongan simpanan (forced saving) ke dalam akaun ASB atau Tabung Haji. Jika anda membuat potongan gaji bulanan ke dalam akaun pelaburan yang memberi pulangan sekadar 7% - 9% setahun, adalah lebih sesuai jika anda tangguhkan dulu simpanan bulanan tersebut dan tumpukan lebihan wang anda untuk membayar sebanyak mungkin ke atas baki hutang kad kredit anda.

Contoh: Potongan ASB/Simpanan bank RM200 sebulan. Setahun ada RM2,400.

Jika simpan di bank, dapat 2% setahun = RM 48

Jika simpan di pelaburan ASB, dapat 9% setahun = RM 216

Jika bayar pada kad kredit, jimat faedah 18% setahun = RM 432

Anda perlu ingat bahawa FAEDAH adalah sesuatu yang anda perlu bayar kepada bank. Mana lebih baik? Anda dapat RM 216 atau anda tidak perlu bayar faedah RM 432? (Nota : Ini cuma kiraan kasar sahaja).


3 – Melalui ansuran bulanan tetapi mempunyai baki aliran tunai negatif (defisit)

Jika anda tidak mempunyai rumah yang sudah naik nilai pasarannya dan mempunyai baki aliran tunai yang negative (defisit), perkara penting yang anda mesti buat adalah cuba ubah-suai semua perbelanjaan bulanan anda dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting semaksima yang boleh seperti rokok, suratkhabar/majalah, kosmetik dan sebagainya.

Jika baki aliran tunai masih lagi negative selepas pengubah-suaian perbelanjaan bulanan, besar kemungkinan ia disebabkan komitmen bulanan yang tinggi ke atas bayaran pinjaman-pinjaman anda (terutamanya dari hutang kad kredit). Samada anda sedar atau tidak, anda sebenarnya di dalam keadaan bahaya kerana setiap bulan anda berbelanja lebih dari kemampuan anda. Dalam erti kata lain, setiap bulan hutang anda semakin bertambah.

Sebelum anda menghadapi masalah kewangan yang lebih teruk seperti gagal membuat pembayaran ke atas pinjaman-pinjaman anda dan diseret ke mahkamah, anda perlu menyusun-semula baki hutang kad kredit anda itu dengan memindahkan ia ke dalam pakej pinjaman yang mempunyai caj faedah lebih rendah seperti pakej pinjaman peribadi di Bank Rakyat.

Cara sebegini juga dipanggil ‘Debt Consolidation’ dan hanya perlu digunakan apabila anda sudah tidak mempunyai pilihan lain untuk mengurangkan komitmen bulanan anda agar tidak menghadapi masalah kewangan yang lebih besar kelak.

Contoh : Baki kad kredit RM 15,000 untuk 3 kad kredit dari pelbagai bank. Bayaran bulanan minima 5% tentunya RM 750. Jika jumlah hutang kad kredit RM 15,000 itu dikumpulkan dan diletakkan ke dalam satu akaun pinjaman peribadi dengan kadar faedah 7.55% setahun untuk tempoh 7 tahun, komitmen bayaran bulanan akan berkurangan menjadi RM 273 sebulan. Dalam erti kata lain, dengan pengurangan komitmen bayaran bulanan, anda sudah boleh menarik nafas lega.

Cuma dari segi penjimatan faedah, ia sebenarnya tidak menguntungkan anda kerana kadar faedah sebenar bagi pinjaman peribadi 7.55% setahun itu adalah 13% setahun (mengikut kadar APR) dan tempoh pinjaman anda juga telah dipanjangkan kepada 7 tahun i.e. 84 bulan. Memang dari segi komitmen bulanan, anda untung kerana komitmen bulanan berkurangan, tetapi jumlah faedah yang anda perlu bayar sekarang sudah bertambah atas sebab-sebab di atas. Oleh itu, apabila kewangan anda sudah bertambah kukuh, cuba bayar lebih kepada pinjaman peribadi anda pula supaya ia cepat selesai dan jumlah faedah berbayar dikurangkan.

Tindakan seterusnya yang perlu anda lakukan adalah mengawal perbelanjaan anda melalui belanjawan bulanan atau membuat penyata aliran tunai bulanan. Penyata aliran tunai ini akan mengingatkan anda – apa yang perlu dibelanjakan setiap bulan supaya anda tidak berbelanja lebih dari kemampuan anda lagi dan ditimpa masalah hutang yang sama seperti dulu.

Diharap tips kewangan yang saya beri ini dapat membantu anda. Terima kasih. "

No comments: